Wednesday, July 13, 2011

Panduan Keibubapaan

Mewujudkan kecemerlangan seseorang anak bukanlah mudah. Ia menuntut peranan mengasuh dan mendidik secara pintar oleh ibu bapa. Ibu bapa yang mengetahui kemahiran keibubapaan akan melaksanakan penjagaan anak secara sistematik bagi melahirkan seorang insan soleh dan berguna serta berjaya dalam masyarakat.

Ibu bapa Sebagai 'Role Model'
Dalam proses pembesaran anak-anak, ibu bapa berperanan sebagai 'role model'. Oleh itu, di antara sikap ibu bapa yang boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak ialah:-
  • Sikap terhadap diri sendiri
  • Sikap terhadap anak-anak
  • Sikap terhadap jiran dan masyarakat
  • Sikap terhadap sekolah dan mata pelajaran anak
  • Sikap terhadap pembentukan budaya ilmu dalam keluarga
Panduan Mengasuh dan Mendidik Anak-Anak
Kedua ibu bapa berperanan mengasuh dan mendidik anak secara bersama. Di antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para ibu bapa ketika mendidik dan mengasuh anak-anak ialah:-
  • Mewujudkan interaksi sosial secara dua hala dan harmoni dengan anak.
  • Mewujudkan keadaan dan suasana rumah serta persekitaran yang  harmoni, aman dan damai.
  • Kehidupan keluarga hendaklah berpandukan peraturan agama dan nilai-nilai akhlak yang murni.
  • Mengekalkan kestabilan perkahwinan dengan saling menghormati, menyayangi dan bekerjasama tanpa dipaksa.
  • Beri perhatian terhadap perkembangan anak.
  • Jelaskan peraturan dan disiplin hidup dalam rumah dan keluarga.
  • Wujudkan suasana dan kepimpinan keluarga yang demokratik, adil dan penyayang.
  • Elakkan daripada memaksa anak bertindak di luar kemampuan.
  • Sediakan keperluan asas fizikal seperti makan-minum, pakaian, kediaman selesa, perlindungan dan pelbagai lagi.
  • Wujudkan keperluan sosial dan emosi anak seperti kasih sayang, rasa dimiliki, status dan pelbagai lagi.
Menjadi Ibu Bapa Bukan Mudah
Tekanan hidup dan keadaan semasa kadang-kadang datang dengan cara mendadak. Jika kita rasa marah, geram dan benci, jangan lepaskan geram kepada anak anak. Cuba langkah-langkah berikut:-
  • Ingat Tuhan!!!...duduk dan bertenang
  • Tarik nafas perlahan-lahan dan kira hingga 10 atau lebih jika perlu
  • Tenangkan fikiran, fikirkan sesuatu yang indah dan nyaman
  • Hubungi dan berbual dengan rakan atau keluarga mengenai masalah yang dihadapi
  • Ambil bahan bacaan ringan seperti majalah dan surat khabar
  • Lihat album lama sambil ingat peristiwa manis
  • Bersenam dan mendengar muzik ringan
  • Baring atas lantai dan berehat...
  • Bawa anak bersiar-siar
  • ...Buatlah sesuatu yang  disukai
[Sumber: http://www.japem.gov.bn/Tips/panduan%20keibubapaan.htm]

No comments: